Hubungan Etnik

RINGKASAN PERPADUAN RAKYAT

Penerangan ringkas berkaitan Perpaduan rakyat sebagai satu cabaran utama Kerajaan Malaysia dan Pendidikan di Malaysia yang dijadikan wahana untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum semenjak sebelum merdeka, sebagaimana dinyatakan dalam Penyata Razak 1956, dilakarkan dalam pendahuluan kertas ini. Diikuti dengan masalah perpaduan dan hasrat penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) dengan ciri-ciri sekolah perkasa.

Selepas penjelasan definisi perpaduan, pendidikan dan memperkasakan, kertas ini mengariskan Sembilan Cabaran Wawasan 2020 dan menyentuh peranan pendidikan dalam proses pembinaan bangsa Malaysia menuju Wawasan 2020. Disusuli pula dengan Imbasan Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Seterusnya dihuraikan bagaimana Penyata Razak 1956 sebagai batu asas bagi perkembangan Sistem Pendidikan Kebangsaan dapat mewujudkan penyatuan kaum. Huraian diteruskan dengan menghubungkaitkan bagaimana Dasar dan Rangka Kerja dapat mewujudkan perpaduan dan pembangunan Negara. Dasar Pendidikan Kebangsaan berkaitan kurikulum, kokurikulum, peperiksan dan penggunaan bahasa pengantar yang sama. Kemudian diteruskan dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dengan teras pertama dan ketiga yang berfokuskan perpaduan dan memperkasakan sekolah.

Rancangan Malaysia Kesembilan dengan empat agenda utamanya yang berkaitan dengan Pendidikan dinyatakan dalam helaian seterusnya, dan diikuti pula dengan Isu dan cabaran perpaduan kaum di peringkat pelajar.

<!–[if !mso]> <! st1\:*{behavior:url(#ieooui) } –>

Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah utama dari sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi ”Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan”

Semenjak sebelum merdeka, Pendidikan telah dijadikan wahana untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum sebagaimana jelas dinyatakan dalam Penyata Razak 1956 dan menjadi cabaran negara dalam usaha untuk mencapai matlamat Wawasan 2020. Manakala hasrat penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) telah diilhamkan oleh para pemimpin negara sebagai wahana untuk perpaduan rakyat pelbagai kaum. SK diharap dapat dijadikan tempat untuk generasi muda hidup bermasyarakat, saling bekerjasama antara satu sama lain serta melahirkan rakyat yang setia dan menyumbang kepada kesejahteraan Negara.

SK merujuk kepada sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah harian yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekolah-sekolah ini ditubuhkan sebagai sekolah aliran perdana bagi memupuk perpaduan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi supaya SK menjadi sekolah pilihan utama masyarakat. Sehingga kini, masih terdapat SK yang mempunyai prasarana kurang memuaskan, terutama di kawasan pedalaman. Selain itu, terdapat anggapan masyarakat bahawa pencapaian akademik di SK adalah lebih rendah berbanding sekolah rendah aliran Cina. Masyarakat bukan Bumiputera mempunyai tanggapan bahawa SK juga terlalu bercirikan Islam manakala masyarakat Islam pula menyatakan sebaliknya.


CIRI-CIRI SEKOLAH PERKASA

v INFRASTRUKTUR LENGKAP DAN BERKUALITI

v PEMIMPIN DAN GURU CEKAP, TERLATIH DAN BERKUALITI

v IKLIM DAN BUDAYA SEKOLAH SIHAT

v SEMUA PELAJAR MENGUASAI 3M

v PENAWARAN DAN PELAKSANAAN KURIKULUM BERASASKAN PELANGGAN

v PENAWARAN DAN PELAKSANAAN KOKURIKULUM YANG BERKESAN

v MENAWARKAN BAHASA CINA DAN BAHASA TAMIL

v PENCAPAIAN AKADEMIK CEMERLANG

v PENCAPAIAN SAHSIAH PELAJAR CEMERLANG

v SISTEM SOKONGAN YANG KUAT DAN MENCUKUPI

v BERASPIRASI NASIONAL

Definisi

Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan Negara. Di samping itu juga, definisi perpaduan menurut Kamus Bahasa Melayu terbitan Fajar Bakti Sdn Bhd mentakrifkan sebagai penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Menurut Kamus Dewan 1994, pendidikan bermaksud sesuatu proses belajar dan juga mengajar. Manakala maksud bagi perkataan memperkasakan adalah memantapkan atau mengukuhkan sesuatu.

Wawasan 2020

Wawasan 2020 merupakan satu wawasan yang amat mencabar bagi rakyat Malaysia, khasnya golongan pelajar. Wawasan 2020 ini dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 hb Februari 1991 (Mok Soon Sang, m/s 105). Wawasan 2020 meletakkan matlamat menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka akan menjadi negara benar-benar maju, mampu berdikari, progresif dan makmur. Objektif ini hanya dicapai jika rakyat Malaysia dapat menghadapi dan mengatasi pelbagai halangan atau rintangan yang dianggap sebagai cabaran.

Peranan pendidikan dalam proses pembinaan bangsa Malaysia perlu diasaskan kepada Wawasan 2020, iaitu satu gagasan pembinaan masa depan masyarakat Malaysia yang bertunjangkan kepada Sembilan Cabaran utama.

SEMBILAN CABARAN WAWASAN 2020

v Pembentukan Masyarakat yang Bersatu padu

v Pembentukan Masyarakat yang Bebas, Merdeka dan Cemerlang

v Pembentukan Masyarakat Demokratik yang Matang

v Pembinaan Masyarakat yang Berakhlak Mulia dan Utuh.

v Pembentukan Masyarakat yang Toleran

v Pembangunan Masyarakat Saintifik dan Maju

v Pembinaan Masyarakat Penyayang

v Pembentukan Masyarakat Keadilan Ekonomi-Sosial

v Pembentukan Masyarakat Daya Saing dan Makmur

Bagaimana Dasar dan Rangka Kerja Dapat Mewujudkan Perpaduan dan Pembangunan Negara.

Dasar Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa:

”Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”

Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.

Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia.ega

ngamenanam sifat-sifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)

Perdana Menteri Y.A.B Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Pada 16 Januari 2007 PIPP ini bertujuan melonjakkan tahap kecemerlangan sekolah dan mengangkat imej sistem pendidikan negara di mata dunia.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan menggariskan enam teras strategik bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, produktif dan kreatif ke arah membentuk Misi Nasional menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

TERAS STRATEGIK PIPP

v Membina Negara Bangsa

v Membangunkan Modal Insan

v Memperkasakan Sekolah Kebangsaan

v Merapatkan Jurang Pendidikan

v Memartabatkan Profesion Keguruan

v Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan

Membina Negara Bangsa

Teras pertama iaitu Membina Negara Bangsa menjadi fokus utama bagi tujuan perpaduan kaum dan merealisasikan Malaysia ke arah negara maju menjelang tahun 2020. KPM berhasrat pembinaan Negara Bangsa melalui pendidikan akan membangunkan warganegara dari awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa. Hasrat membina Negara Bangsa ini akan dicapai dengan memperkasakan Bahasa Melayu, meningkatkan disiplin pelajar, menggiatkan Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) serta menggiatkan aktiviti kokurikulum dan sukan bagi membina jati diri serta menerapkan budi bahasa dan adab di kalangan pelajar.

Memperkasakan Sekolah Kebangsaan

Teras Ketiga iaitu Memperkasakan Sekolah Kebangsaan (rendah dan menengah) supaya sekolah-sekolah tersebut menjadi sekolah pilihan utama masyarakat. Sehubungan itu, sekolah kebangsaan akan dilengkapkan kemudahan asas pendidikan yang mencukupi dan berkualiti, bekalan elektrik dan air bersih serta kemudahan ICT. Sekolah juga akan dibekalkan guru terlatih yang mencukupi mengikut opsyen serta bilangan staf sokongan mengikut keperluan.

Misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ialah membangun sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia di samping memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara. Matlamat KPM ialah

  • Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatupadu.
  • Melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.
  • Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara.
  • Memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia

Hasrat murni kerajaan itu dapat dicapai sepenuhnya melalui:

Penubuhan Sekolah Wawasan

Sekolah Wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama. Di bawah konsep ini, dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan bahasa pengantar dan pentadbiran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan asas seperti padang permainan, dewan dan kantin. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung (link-way). Perlaksanaan sekolah wawasan akan mewujudkan persekitaran yang memberi peluang yang lebih luas kepada murid daripada pelbagai kaum untuk bergaul dan berinteraksi secara langsung dalam pelbagai aktiviti.

Tujuan dan matlamat Sekolah Wawasan

v Untuk mewujudkan perpaduan di kalangan murid-murid yang berbagai-bagai bangsa dan latar belakang

v Untuk memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran

v Untuk melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu

v Untuk menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah

v Untuk menjayakan dan merealisasikan Wawasan

Tercabarnya hubungan etnik

SEMUANYA bermula dengan media. Kerana dua tiga ayat berkaitan isu ‘pendatang’ dan ‘keturunan pendatang’ maka hebohlah seluruh Malaysia.

Secara fakta sejarah dan berdasarkan cara kita menguruskan hubungan etnik di negara ini sama ada dasar pendidikan, agihan kuasa politik atau agihan ekonomi, sukar untuk kita melihat konsep bangsa Malaysia yang sebenar-benarnya wujud dalam tempoh lima puluh tahun akan datang.

Penulis mengikuti dengan teliti tulisan oleh Dr. Hassan Ahmad dan Prof Dr. Zainal Kling baru-baru ini berkaitan etnisiti. Kedua-duanya menunjukkan nada yang sama, iaitu kecewa dengan sikap ‘keturunan pendatang’ di negara ini.

Sikap beramaran yang ditunjukkan oleh mereka tentunya akan meningkatkan rasa jengkel bukan Melayu kepada masyarakat Melayu. Tetapi apa yang ditulis oleh mereka adalah jelas dan telah dinyatakan dengan tertib dan penuh ilmiah. Tinggal lagi bolehkah ‘keturunan pendatang’ dapat menerima pandangan tersebut dan melupakan apa yang telah berlaku semasa kempen pilihan raya yang lalu?

Cakap-cakap orang ramai berkaitan pergolakan hubungan etnik bermula selepas berakhirnya pilihan raya awal tahun ini. Sememangnya bahang panasnya telah mula dirasai sekarang apabila timbulnya pelbagai tuntutan di kalangan masyarakat bukan Melayu kepada pihak pemerintah.

Persoalan keistimewaan orang Melayu, hal ehwal Islam dan kuasa raja-raja Melayu mula dipertikaikan. Semakin banyak tulisan di blog-blog serta laman web membincangkan hal ini. Tuntutan yang menjejaskan hubungan etnik ini dikaitkan dengan kelemahan sokongan yang diperolehi parti pemerintah dalam pilihan raya lalu.

Secara lebih khusus, kepincangan hubungan etnik ini timbul berasaskan kepada empat faktor utama iaitu kehilangan sokongan di pihak parti pemerintah khususnya UMNO yang berasaskan kaum dan bertambah sokongan kepada parti pembangkang yang multietnik.

Kedua, pergolakan dalam UMNO dan kesatuan Pakatan Rakyat yang semakin ‘menjadi’. Ketiga, persaingan menyediakan ganjaran dan memenuhi tuntutan kumpulan minoriti oleh parti Melayu untuk meraih sokongan di kalangan bukan Melayu (anugerah tanah untuk sekolah persendirian Cina di Perak adalah contoh yang terbaru).

Keempatnya, didorong oleh sikap keterbukaan sebahagian orang Melayu khususnya di bandar yang menolak parti berasaskan kaum dan tidak lagi kisah dengan usaha mempertahankan keistimewaan dan ketuanan Melayu.

Gabungan faktor ini telah mewujudkan kelemahan yang kumulatif kepada kepimpinan Barisan Nasional khususnya UMNO.

Oleh itu, pihak kerajaan perlu segera memperbaiki hubungan etnik ini secara serius. Sama ada suka atau tidak, kontrak sosial mestilah disosialisasi di dalam pendidikan kita. Anak-anak Melayu, Cina dan India khususnya perlu dididik untuk memahami serta menghormati kontrak sosial.

Bukan kerana agenda ketuanan Melayu tetapi kerana kontrak sosial ini adalah asas untuk membina sebuah bangsa Malaysia. Kontrak sosial yang telah berevolusi selama 50 tahun walaupun belum berupaya membina satu bangsa Malaysia tetapi terbukti berjaya mempertahankan keharmonian etnik di negara ini.

Kontrak ini sudah jelas maksudnya tidak pernah menghasilkan etnik yang tertindas. Misalnya, walaupun orang Melayu adalah majoriti dari segi bilangannya tetapi tidak langsung memberikan isyarat untuk memonopoli ekonomi negara.

Faktanya, lebih ramai orang Melayu yang berada di dalam kumpulan status sosial ekonomi bawahan berbanding orang Cina dan India. Malah bilangan profesional dan peniaga di kalangan etnik Cina dan India lebih ramai berbanding orang Melayu.

Secara politik, walaupun orang Melayu dan bumiputera merupakan 62 peratus penduduk negara ini, perwakilan di DUN dan Parlimen menunjukkan agihan kerusi pilihan raya tidak pernah menguntungkan orang Melayu.

Malah ahli Yang Berhormat yang terpilih untuk berbincang dan meluluskan keputusan dan dasar negara bukanlah diasaskan kepada perwakilan kaum tetapi atas dasar kebersamaan di kalangan parti komponen.

Secara nisbah orang Cina dan India mempunyai perwakilan yang lebih daripada orang Melayu untuk mewakili etnik masing-masing.

Sejarahnya, orang Melayu memang telah banyak berkorban dan menyumbang kepada pembangunan negara ini, kaum Cina dan India juga tidak kurang pentingnya, turut memberikan sumbangan yang besar. Maka, tindakan menuding jari dan memperkecilkan sumbangan kaum lain bukanlah sesuatu tindakan yang bijak dan terhormat.

Oleh itu pengajaran yang sangat besar daripada peristiwa selepas pilihan raya umum ke-12 ialah perlunya pendidikan multibudaya (multicultural education) dikembang di sekolah-sekolah kita. Sangat penting untuk anak-anak kita mengenali secara dekat budaya etnik lain supaya mereka akan lebih serasi dan selesa berinteraksi khususnya selepas zaman persekolahan.

Sistem pendidikan vernakular sudah ketinggalan zaman dan ternyata gagal menguruskan kehidupan majmuk rakyat negara ini. Sampai bila konsep pecah perintah perlu dipertahankan atas nama mempertahankan identiti etnik sehingga menimbulkan rasa perkauman yang semakin menebal dan sukar dipulihkan lagi.

Soal siapa tuan dan siapa ‘keturunan pendatang’ akan terus-menerus diadudombakan dalam masyarakat di negara ini.

Hari ini generasi yang belajar dalam sistem pendidikan vernakular mengungkit-ungkit soal ketuanan dan ‘keturunan pendatang’, maka jika sistem pendidikan vernakular ini dikekalkan maka anak cucu kita juga akan mengungkit-ungkit perkara yang sama pada masa depan. Sedih rasanya jika kita mewariskan kepada generasi masa depan yang akan terus menerus mengulangi kesilapan kita.

Tak berbaloi rasanya kita berjaya sampai ke bulan, kalau sesama kita bertelagah dan bercakaran tentang perkara yang telah dipersetujui sebaik sahaja kita merdeka dulu, lima puluh tahun dulu. Kembalilah kepada semangat dan iltizam pejuang bangsa terdahulu, hormati perjanjian yang telah mereka bina bersama demi mempertahankan keamanan, keharmonian dan kestabilan hidup di bumi bertuah ini, bumi Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: